Mutiara Ilmu

CIRI-CIRI GURU & PENSYARAH DALAM PANDANGAN ISLAM

Nukilan : ibnuhadhari


Ketidakupayaan Seorang guru menunjuk model dan teladan yang baik akan menjadi batu penghalang ke arah pembentukan pelajar yang baik. Bahkan ia merupakan titik cemar dalam keperibadian guru berkenaan. Pepatah Arab ada menyebutkan:

"Jangan lakukan perbuatan yang anda tegah, Perbuatan demikian aibnya amatlah parah."

Apakah yang dimaksudkan dengan sahsiah, ciri-ciri utamanya, apakah traits nilai di rangkumi olehnya, apakah ciri seorang guru muslim dan bagaimana membangun ciri-ciri tersebut, inilah antara persoalan yang akan kita huraikan dalam kesempatan ini. "Maksud Sahsiah". Sahsiah bermakna peribadi atau personaliti. Ia merujuk kepada traits yang mencirikan peribadi orang berkenaan. Peribadi menggambarkan sifat personaliti individu yang membezakannya daripada orang lain. Sifat sahsiah merangkum gaya hidup, kepercayaan, harapan, nilai, motif, pemikiran, perasaan, budi pekerti, persepsi, tabiat, sikap dan watak seseorang. Mengikut G.W Allport dalam dalam bukunya “Pattern and Growth in Personality”, sahsiah ditakrifkan sebagai organisasi dinamik sesuatu sistem psikofizikal di dalam seseorang individu yang menentukan tingkah laku dan fikirannya yang khusus. Sistem psikofizikal merangkumi segala segala unsur-unsur psikologi seperti tabiat, sikap, nilai, kepercayaan dan emosi, bersama dengan unsur-unsur fizikal seperti bentuk tubuh badan, urat saraf, kelenjar, wajah dan gerak geri seseorang (Mok Soon Sang, 1994:1). Sahsiah mempunyai tiga ciri utama. Pertama, ialah keunikan dengan maksud tersendiri. Kedua, kebolehsuaian atau keupayaannya untuk berubah dan diubah; hasil pembelajaran atau pengalaman. Ketiga, ialah organisasi. Dengan perkataan lain ia bukan sekadar himpunan tingkahlaku sebaliknya ia melibatkan corak tindakan dan operasi yang bersifat konsisten. Tegasnya sahsiah mencerminkan sifat, fizikal, kognitif, emosi, sosial dan rohani seseorang. Tidak diragukan lagi bahawa guru yang mempunyai keperibadian yang baik akan meninggalkan kesan yang positif dalam diri anak didik mereka. Alat teknologi moden walau bagaimana canggih sekalipun tidak dapat mengambil peranan guru. Faktor manusia tetap diperlukan dalam proses pembentukan dan pematangan sahsiah murid. Sebab itu banyak kajian dibuat tentang sifat-sifat yang perlu ada pada seorang guru yang baik dan berkesan dalam pengajaran mereka.

Menurut Prof Omar al-Toumi al-Syibani sifat dan ciri seorang guru muslim hendaklah merangkumi: (a) Sifat Rohaniah 1. Keimanan yang kental kepada Allah yang maha sempurna 2. Keimanan kepada hari akhirat, hari pembalasan dan seluruh para Rasul 3. Sifat-sifat keimanan asas yang lain (b) Sifat-Sifat Akhlak 1. Benar dan jujur 2. Menepati janji 3. Amanah 4. Ikhlas dalam perkataan dan perbuatan 5. Merendah diri 6. Sabar, tabah dan cekal 7. Hilm, pemaaf dan toleransi 8. Menyayangi murid, mementingkan orang lain, pemurah, zuhud dan qanaah (c) Sifat Mental, Kejiwaan dan Jasmani i. Sifat Mental 1. Cerdas (Kepintaran teori, amali dan sosial) 2. Menguasai mata pelajaran takhassus 3. Luas pengetahuan am 4. Cenderung kepada pelbagai bidang akliah, dan ilmiah yang sihat 5. Mengenal ciri, watak, kecenderungan dan keperluan murid 6. Fasih, bijak dan petah dalam penyampaian ii. Sifat Kejiwaan 1. Sifat tenang dan emosi yang mantap 2. Optimistik dalam hidup, penuh harap kepada Allah dan tenang jiwa bila mengingatiNya. 3. Kepercayaan kepada diri dan mempunyai kemahuan yang kuat 4. Bersifat lemah lembut dan baik dalam pergaulan 5. Berfikiran selesa dan boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat iii. Sifat Fizikal 1. Sihat tubuh badan dan terhindar dari penyakit berjangkit atau tidak berjangkit 2. Berperawakan tampan, kemas dan bersih.

Antara sifat pensyarah/ guru yang dikehendaki ialah : 1. Berkelakuan baik (penyayang dan penyabar) 2. Tidak berat sebelah 3. Berkeupayaan menghuraikan pelajaran dengan jelas 4. Berdisiplin 5. Menguasai mata pelajaran dengan baik 6. Adil dalam pemarkahan 7. Sifat kelakar 8. Suka menolong pelajar di luar kelas 9. Memahami masalah pelajar 10. Mampu menarik perhatian pelajar 11. Amanah dan menunaikan janji 12. Berupaya membuat penghukuman yang betul 13. Mempunyai sahsiah yang dihormati 14. Mempunyai semangat persekolahan yang tinggi 15. Mempunyai arahan yang jelas dan spesifik 16. Boleh membezakan ‘intan dari kaca’ 17. Mempunyai kemahuan yang kuat 18. Mempunyai bakat kepimpinan yang tinggi 19. Tidak suka menghina murid atas kesalahan mereka 20. Tidak menyalahgunakan peraturan membenarkan murid dirotan 21. Luas pengetahuan am 22. Tidak lari atau terkeluar dari tajuk bila mengajar 23. Suara yang baik-serak-serak basah 24. Mengenal titik kekuatan murid 25. Pandai memberi nasihat 26. Simpati terhadap kelemahan murid 27. Pandai memilih kata-kata 28. Memberi ruang para pelajar menelaah dan mengulangkaji 29. Mengambil kira suasana murid di rumah 30. Boleh membuat ujian secara berkala 31. Mengamalkan kaedah pengajaran yang berkesan 32. Mengambil kira pengudaraan bilik darjah 33. Suka memberikan kerjasama 34. Bersemangat riadah atau kesukanan Pensyarah/guru Muslim yang mempunyai sahsiah yang baik juga ialah guru yang mengamalkan etika keguruan Islam yang standard.

Kod etika berkenaan memperincikan secara khusus sifat dan ciri tertentu yang menjadi garis panduan guru-guru yang baik personaliti mereka. Etika Pensyarah/ Guru Muslim Etika perguruan Islam belum dibuat secara khusus oleh kumpulan yang dianggotai oleh berbagai kalangan yang profesional. Namun sebagai percubaan awal hal ini boleh diusahakan secara perseorangan dan kemudiannya dapat ditokok tambah oleh khalayak pendidik serta dihayati oleh mereka sebagai suatu etika profesion keguruan .

Antara yang boleh dirumuskan ialah: Tanggungjawab Terhadap Allah Etika Pensyarah/guru muslim terhadap Allah ialah seperti berikut: 1. Seorang guru Muslim hendaklah sentiasa memantapkan keyakinan/keimanan kepada Allah di samping mengukuhkan hubungannya yang berterusan denganNya. 2. Sifat istiqamah, iltizam semangat berbakti dan beramal soleh hendaklah menjadi amalan harian. 3. Guru Muslim mustahak menghayati rasa khusyuk, takut dan harap kepada Allah. 4. Guru Muslim hendaklah prihatin untuk sentiasa mengagungkan syiar agama Islam dan berusaha ke arah mendaulatkan syariat Islam. 5. Guru Muslim mesti melaksanakan kewajiban agama, menghindari laranganNya dan menyempurnakan segala hak dan tanggungjawab yang berkaitan dengannya. 6. Guru Muslim hendaklah bersyukur kepada Allah di samping selalu berdoa kepadaNya dengan membaca ayat-ayat Allah dan merendahkan diri ke hadratNya.

Tanggungjawab Terhadap Diri (Hak Kepada Diri Sendiri) 1. Pensyarah/Guru muslim hendaklah memastikan keselamatan diri sendiri, sama ada dari aspek fizikal, emosional, mental mahupun moral. 2. Prihatin terhadap kebersihan diri, pakaian 9 Mestilah mengikut etika Universiti/Pejabat,sekolah), perawakan dan tempat tinggal. 3. Memahami kekuatan dan kelemahan diri untuk boleh dimanfaatkan serta ditingkatkan dari segenap aspek. 4. Meningkatkan kesejahteraan diri agar dapat berkhidmat selama dan sebanyak mungkin kepada Allah, masyarakat dan negara. 5. Melibatkan diri dengan program dan agenda yang boleh meningkatkan kualiti profesion sebagai seorang guru.

Tanggungjawab Terhadap Ilmunya Pensyarah /Guru muslim hendaklah : 1. Memastikan penguasaan ilmu takhassus secara mantap dan mendalam. 2. Beriltizam dengan amanah ilmiah. 3. Prihatin untuk mengamalkan dan mengembangkan ilmu yang dipelajari. 4. Sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terbaru dalam pengajaran ilmu yang berkaitan. 5. Dari semasa ke semasa guru Muslim hendaklah menelusuri sudut atau dimensi spirituality Islam dalam pelbagai lapangan ilmu pengetahuan. 6. Sentiasa memanfaatkan ilmu untuk tujuan kemanusiaan, kesejahteraan dan keamanan umat manusia sejagat.

Tanggungjawab terhadap Profesion 1. Seorang Pensyarah/ guru tidaklah harus bertingkah laku begitu rupa sehingga boleh mencemarkan sifat profesionnya dan yang mana menyebabkan kurang kepercayaan orang ramai terhadap profesion pendidikan. 2. Dia tidaklah harus bertingkah laku begitu rupa yang boleh membawa kepada jatuhnya maruah diri dan kehilangan amanah berhubung dengan kewangan. 3. Dalam semua hubungan dan tugas seseorang guru hendaklah menjalankannya dengan jujur. 4. Tanggungjawab utama seseorang guru ialah terhadap pelajarnya. Kepentingan para pelajarnya haruslah mengatasi semua kepentingan lain seperti kepentingan masyarakat, persatuan atau persendirian. 5. Dia haruslah menumpukan perhatian dan pengajaran untuk semua pelajar tidak kira bangsa, agama atau kepercayaan. 6. Dia haruslah bertugas sebagai pengganti ibu bapa dalam usaha membentuk tingkah laku para pelajar ke arah matlamat-matlamat yang diterima oleh masyarakat. 7. Dia haruslah menumpukan perhatian terhadap keperluan setiap pelajarnya. 8. Dia haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara adil terhadap semua pelajar tidak kira bangsa, warna, jantina, bahasa, agama, kepercayaan politik, tempat asal keluarga, intelek, akademik dan status-status lain. 9. Dia harus mengesan dan menerima perbezaan individu di kalangan pelajar dan memandu mereka memperkembangkan potensi mereka dari segi jasmani, intelek, daya cipta dan rohani. 10. Dia harus menghormati hak setiap pelajar supaya maklumat-maklumat sulit mengenai diri para pelajar tidak diberitahu kepada orang atau agensi lain yang tidak berkenaan. 11. Dia tidaklah harus bertingkah laku terhadap para pelajarnya begitu rupa yang boleh membawa jatuhnya darjat profesion perguruan. 12. Dia tidaklah harus mengajar sesuatu yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat awam atau negara. 13. Dia haruslah menanamkan sikap yang baik terhadap para pelajarnya supaya mereka dapat berkembang menjadi warga negara yang taat setia dan beragama. 14. Dia tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan keyakinan diri para pelajarnya dan ibubapanya. 15. Dia haruslah bertingkah laku begitu rupa supaya menjadi contoh yang baik terhadap pelajar. 20. Dia tidaklah harus menjatuhkan nama baik guru-guru lain. 21. Untuk mendapatkan pekerjaan atau kenaikan pangkat dia haruslah menggunakan cara-cara yang sah sahaja (iaitu berdasarkan kecekapan). 22. Dia tidaklah harus mengiklankan dirinya dengan cara membesar-membesarkan namanya untuk mendapatkan sesuatu pangkat dalam profesion perguruan.

Tanggungjawab Terhadap Pelajar 1. Guru muslim hendaklah lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar dari hal-hal lain. 2. Bersikap adil (TIDAK BIAS) dan tidak EMOSIONAL terhadap setiap seseorang Mahasiswa/pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan dan agama. 3. Menampilkan suatu cara pakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar. (Amat dianjurkan dalam Islam) 4. Membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam kelas sendiri atau dalam mata-mata pelajaran yang diajar dalam kelas tanpa sebarang bayaran. 5. Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran mencapai mutu yang setinggi-tingginya.

Tanggungjawab Terhadap Rakan Sejawat 1. Guru muslim hendaklah mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru. 2. Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan sebagai guru. 3. Berusaha dengan sepenuhnya menunaikan tanggungjawab dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkan kemajuan ikhtisas dan sosial. 4. Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat terutamanya mereka yang baru dalam profesion perguruan. 5. Sentiasa mengawasi diri supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruan.

Guru yang Berkesan Guru yang Tidak Berkesan Adil Pilih kasih Demokratik Autokratik Bertimbang rasa Terbatas Responsif Menjauhkan diri Baik hati Kasar Tidak membosankan Membosankan Original Stereotype Tangkas Tidak peduli Menarik Tidak memberi kesan Bertanggungjawab Bersikap dalih Stabil Tidak seimbang Tenang Mudah naik perasan Yakin Tidak tentu Penutup Cabaran yang dihadapi oleh para guru dalam mengajar murid-murid zaman ini bukanlah suatu yang mudah. Guru berhadapan dengan kenakalan remaja yang semakin serius. Ibu bapa harus ikut serta dalam memudahkan kerja guru-guru di sekolah. Kerajaan wajar peka dengan keperluan persekolahan dan pembelajaran generasi baru yang semakin canggih dan pelbagai. Masyarakat juga mustahak memainkan peranan sebagai pemangkin kejayaan guru dan murid dalam pembelajaran mereka. Tanpa kerjasama semua pihak proses pendidikan tidak akan berjaya menghasilkan generasi yang baik.

Said Bin Jubair meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa beliau berkata: “Orang yang mengajar orang lain akan kebaikan, seluruh makhluk Allah termasuk ikan di laut memohon keampunan Allah untuknya.”

JANGAN PROMOSI DOSA DI FACEBOOK & BLOG

PROMOSI MAKSIAT & BUKA AIB SENDIRI
Iman seseorang telah disepakati oleh para ulama boleh menaik dan menurun berdasarkan pelakuan di dalam kehidupan sehariannya. Jika dosa memenuhkan ruang kehidupannya dengan dosa, keimanan akan menurun, memberi kesan kepada seluruh amalan. Solatmenjadi tidak khusyu' dan berat, demikian amalan kebaikan dirasa membosankan dan teramat menjemukan. Perasaan kesal dan rasa bersalah atas pelakuan dosa pula akan semakin pudar, hasilnya, keimanan di dalam hati menjadi semakin malap tanpa sinar.
Dosa dan pahala boleh bercambah dengan mudah, tanpa kawalan dan kesedaran sebaiknya, catatan amalan seseorang mungkin mengejutkannya di hari pembalasan kelak, sama ada disebabkan dosa yang di luar jangkaan atau timbunan pahala yang tidak disangka. Jika ia pahala, Alhamdulillah, namun bagaimana jika dosa yang memenuhi buku catatan amalan?.
Melalui artikel ini, sekadar ingin mengingatkan kita semua agar lebih peka terhadap salah satu punca percambahan dosa. Malah dosa yang kecil boleh berubah wajah kepada Kabair (dosa besar) akibatnya. Tujuan tulisan ini tidak lain agarkita semua dapat lebih berhati-hati terhadap dosa yang tidak disedari sedang dipromosi dan disebarkan.

FILEM, DRAMA DAN DOSA
Perlu kita semua fahami, manusia selain Rasulullah s.a.w tidak akan dapat lari dari dosa.Paling kurang dosa-dosa kecil. Sebagai contoh, dosa-dosa kecil amat mudah diperolehi apabila kita menonton televisyen sama ada melalui tontonan aurat lelaki wanita di dalam siri drama, filem iklan, hatta berita. Dosa kecil juga boleh berlaku apabila kerananya sekiranya seseorang itu melalaikan tanggungjawab agama yang lain dan pelbagai lagi kekurangan kerananya.
Telah dibincang panjang lebar oleh ulama Islam, TV dan filem adalah neutral, jika digunakan untuk tujuan kebaikan, maka pahala diperolehi, jika keburukan, dosa tentunya.
Sudah menjadi norma hari ini, hampir semua keluarga mempunyai TV walau setinggi manapun tahap keilmuan agamanya. Jika tiada TV, internet juga turut memasuki kebanyakan rumah umat Islam hari ini, segala jenis filem dapat ditontoni melaluinya.
Diketika saya bersetuju dan tertarik dengan seruan para ilmuan dan pendakwah agar kita memboikot Yahudi Zionis dengan memboikot segala jenis hiburan melalaikan di televisyen atau internet, kerana itu adalah antara agenda penting mereka dalam merosakkan umat Islam. Namun begitu, sebahagian pendakwah ini mungkin terlupa menyedarkan, bahawa filem-filem dan drama yang biasanya ‘box office' karya Hollywood juga adalah karya hedonimse Barat dan Yahudi Zionis. Itu juga sepatutnya diboikot.
Namun,desakan nafsu dan Syaitan kerap mendorong sebahagian kita untuk terus melihat kisah-kisah paparan kreativiti karyawan Barat ini. Walau kita tahu ia bercampur baur adegan dosa ( berpelukan, bercium dan sebagainya) dan pemaparan aurat tentulah amat pasti.

DOSA KECIL YANG MEMBESAR DAN BERGANDA
Benar, secara umumnya, ia mungkin masih dianggap dosa-dosa kecil. Dosa kecil disebut oleh Nabi s.a.w boleh terhapus dengan solat fardhu, solat Jumaat, zikir, istighfar dan pelbagai amalan lain. Namun demikian, dosa kecil seperti itu boleh berganda sehingga adakalanya amalan seseorang tidak lagi mampu memadamkan keseluruhannya.
Bilakahitu?
Ia adalah apabila tontonan kita itu dikongsikan kepada orang lain melalui pendedahan kita sendiri sama ada di ketika bercerita berkenaannya, mungkin dalam ulasan kita. Atau lebih teruk lagi dipamerkan di FACEBOOK sebagai filem (movies) yang diminati, drama TV disukai, buku didambai, muzik dikagumi dan sebagainya.
Bagi saya, tindakan mengisi ruang itu dengan sebarang filem yang majoritinya mendedahkan aurat dan bercampur baur pengajarannya adalah sama seperti mempromosikannya, memberikan iklan percuma kepadanya, memaklumkan keredhaan kita terhadapnya.
Mungkin terkecuali jika kita menyiarkan minat kita terhadap movie pengajaran seperti Kung Fu Panda, Toy Stories, Cars, Omar Mukhtar atau dokumentari dan keagamaan seperti National Geographic, Discovery Channel, Berita, Al-Kuliyyah, Tanyalah Ustaz, Halaqah, Imam Muda dan sebagainya.
Memaparkan minat kita rancanganTV atau Movie yang jelas bercampur aduk dosa dalam majoriti adegannya seperti ‘Desparate Housewives', ‘Friends', ‘Pretty Women', ‘Notting Hill', ‘Kuch Kuch Hota Hai', ‘HEROES' dan jutaan lagi filem sepertinya.
Walaupun seseorang itu memang meminati dan menontonnya, namun sedarilah tontonan itu mengakibatkan banyak dosa-dosa kecil. Tontontan itu tanda akibat kelemahan diri kita sehingga terjebak dalam dosa sebegitu.
Memaklumkannya kepada orang lain akan minat kita terhadap filem itu adalah dosa gandaan yang lain. Ia adalah sebuah promosi iklan secara percuma. Malah mendedahkan sokongan kita terhadap movie dan drama bermaksiat. Bukan sekadar movies sahaja malah hal yang sama terpakai buat promosi buku, novel, muzik dan public figure atau artis (khususnya di facebook).
Sayabimbang, keghairahan berkongsi segala-galanya di dalam facebook, blog dan forumakan tanpa sedar mempergandakan dosa seseorang.
Kecuali jika diyakini dengan ilmu dan iman bahawa pengajaran BAIK dari filem yang ingin dikongsi tersebut atau ditanda sebagai ‘like' itu MELEBIHI UNSUR DOSA DAN BURUK. Sebagaimana drama-drama bermesej islam, penuh pengajaran tetapi masih dilakonkan oleh pelakon mendedah aurat. Jika diyakini unsur positifnya melebihi dan negatif, tatkala itu mungkin wujudnya sedikit justifikasi untuk dipapar dan ditonjolkan dalam senarai drama diminati. Dengan niat agar orang lain turut mendapat pengajarannya.
Selain berkongsi minat terhadap hal yang disebut di atas, ada juga yang mendedahkan dosanya melalui gambar. Gambar seperti :
  • ketika sedang minum arak,
  • hadiri parti penuh maksiat,
  • hadiri majlis dosa,
  • sedang berpelukan lelaki wanita
  • atau bersentuhan wanita dan lelaki yang bukan mahram (walaupun bagi seorang doktor kerana keperluan, tetapi gambar sedemikian PATUT disembunyikan)
  • dan sebagainya,
Sekiranya semua yang disebut tadi dikongsi di facebook dan blog, kita bimbang individu terbabit tergolong di dalam kategori penyebar dosa dan pembuka aib diri sendiri. Nabi s.a.w memberi ingatan :-
كل أمتي معافى إلا المجاهرين، وإن من المجاهرة أن يعمل الرجل بالليل عملا، ثم يصبح وقد ستره الله عليه، فيقول: يا فلان عملت البارحة كذا وكذا، وقد بات يستره ربه، ويصبح يكشف ستر الله عليه
Ertinya: Setiap umatku (boleh) diampunkan keucali mereka yang mendedahkan (dosanya),ada di kalangan yang mendedahkan ini , melakukan suatu dosa di waktu malam, berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan seraya berkata :" Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini" maka terhapuslah tutupan Tuhannya dan jadilah ia membuka (rahmat) Allah yang(sebelum ini) menutup keaibannya.( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

SEMBUNYIKAN DAN TAUBAT
Justeru itu, jadikanlah dosa peribadi disebabkan menonton filem bercampur maksiat, atau menyukai musik hedonisme, atau melakukan maksiat secaraf izikal kerana zina, curi, tidak solat dan sebagainya, sama ada kecil ataubesar yang dilakukan di rumah, tersembunyi adalah antara individu terbabit denganAllah SWT. Tujuannya agar seseorang itu beroleh rahmat Allah dan diberi hidayahuntuk bertaubat sebelum maut menjelma.
Mungkin disebabkan pendedahannya, apabila ia ingin atau telah bertaubat, sukar untuknya untuk memaklumkan kepada semua yang pernah mendengar atau mengetahui pendedahannya agar bertaubat sama, malah taubatnya juga mungkin diragui orang lain atau paling kurang, membawa masalah dalam hati seperti boleh menumbulkan riya'.
Justeru jalan terbaik atas apa jua bentuk dosa yang telah atau pernah dilakukan adalah SENYAP DAN SEMBUNYIKAN. Ia bukan hipokrit !tetapi ia dituntut oleh Allah dan RasulNya dan usahakan bertaubat. Hiprokrit adalah bagi mereka yang berpura-pura baik, tetapi dalam hal ini, si pelau dosa hanyalah menyembunyikan dosanya. Tidak timbul persoalan dia cuba mengabui mata orang ramai dan berpura-pura baik. Rasulullah bersabda :
اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةِ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا فَمَنْأَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسَتْرِ الله وَلْيَتُبْ إِلَى الله. فَإِنَّهُ مَنْيُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ.
Ertinya : "Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yangtelah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepadakami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azzawa Jalla." [Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak,hadis no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya." Inidipersetujui oleh al-Zahabi.]
Pengecualiannya hanyalah apabila kes melibatkan aib dan dosa ini diajukan di mahkamah untuk menangani sesuatu kes, atau ketika merujuk kepada kaunselor diyakini untuk membantu dan ilmuan Islam untuk mengetahuihukum dan kaedah pemulihan.
Allah itu maha pengampun dan sentiasa menginginkan kita untuk bertaubat dan beristighfar, maka antara ciri taubat yang mudah diterima adalah apabila dosa tidak didedahkan. Didalam sebuah lagi hadis sohih disebutkan :-
أن النبيصلى الله عليه وسلم قال : يدني الله عبده المؤمن ، فيضع عليه كنفه ويستره ، فيقول: أتعرف ذنب كذا ؟ أتعرف ذنب كذا ؟ فيقول : نعم ، أي ربِّ ، حتى إذا قرره بذنوبه ، ورأىفي نفسه أنه قد هلك ، قال : سترتها عليك في الدنيا ، وأنا أغفرها لك اليوم
Ertinya: Nabi bersabda : (Di akhirat kelak) Allah akan menghampiri seorang hambanya yang mukmin lalu melindunginya lalu berkata : Adakah kamu tahu dosa kamu ini?Adakah kamu sedar dosa ini? Lalu jawab lelaki itu Ya Wahai Tuhan dan sehingga dia mengakui dosanya dan merasakan dia akan binasa (dihukum), Allah berkata : Aku telah menutupinya di dunia dahulu ( dari pengetahuan manusia), dan hari ini aku akanmengampunkannya ( Riwayat Al-Bukhari)
Jelas dari hadis di atas, dosa yang dilakukan dan tidak didedahkan berpeluang mendapat belas kasihan Allah di akhirat untuk diampuni. Namun bagi mereka yang telah lebih dahulu berbangga bercerita, mengiklan, promosi dan sebagainya sejak didunia lagi, dibimbangi tidak cukup layak mendapat belas kasihan dan rahmat Allahserta pengampunannya.

KESIMPULAN
Segeralah memadam paparan minat dan keterlibatan terhadap apa jua aktiviti, tayangan, muzik, bacaan selain untuk Allah,Rasul dan apa yang mendekatkan diri kepada keredhaan Allah. Walau sebanyak, sedalam manapun minat, sejauh manapun keterlibatan, sembunyikan ia, bukan bertujuan untuk menipu manusia lain, tetapi agar dia tidak tergolong dalam kalangan berbangga dengan dosanya, mempromosi, membuka aib sendiri dan mengiklan kejahatan kepada orang lain.
Semaklah facebook anda, blog, website, forum dan sembangan harian agar tidak tersalah dan mempergandakan dosa.
Sekian
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman (Zaharuddin .net)

FATWA CABUTAN BERTUAH
SUMBER : JABATAN MUFTI JOHOR

Tarikh Keputusan:
27 Aug, 2002
Huraian Tajuk/Isu:
Apakah Islam membenarkan cabutan bertuah?
Keputusan fatwa:
Setelah diteliti dari setiap sudut dan aspek, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 18 Jamadil Akhir 1423 bersamaan 27 Ogos 2002 telah mengambil keputusan seperti berikut:-
Alhamdulillah fatwanya Harus dan tidak menyalahi syarak untuk mengadakan cabutan bertuah sekiranya mematuhi syarat-syarat berikut:
i) Tidak mengandungi unsur judi
ii) Hadiah yang diberi atas dasar rela hati dan redha penganjur itu sendiri
iii) Tiada sebarang unsur yang boleh membawa mudarat dan penganiayaan kepada pelanggan disebabkan hadiah tersebut.
iv) Tiada unsur penipuan dan agenda-agenda tersembunyi.



GARIS PANDUAN BERASASKAN HADIAH
Sumber Dari JAKIM

1. TUJUAN
Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah ini disediakan untuk memberi panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan peraduan yang menawarkan hadiah sebagai ganjaran sama ada agensi- agensi kerajaan dan swasta, syarikat-syarikat telekomunikasi, media cetak dan elektronik, pengendali konsep peraduan, penaja, orang awam serta mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam peraduan tersebut.
2. PENDAHULUAN
2.1 Dengan kemajuan arus perdana, urusniaga jual beli telah mula diperluaskan dengan pelbagai teknologi moden termasuklah melalui SMS. Bukan sekadar itu, promosi produk jualan juga semakin berkembang pesat melalui instrumen semasa termasuk penganjuran peraduan kontemporari oleh pelbagai pihak telah menjadi begitu popular dan semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat.

2.2 Namun begitu, penganjuran peraduan kontemporari ini yang kebiasaannya menawarkan hadiah contohnya peraduan melalui SMS telah menimbulkan pelbagai polemik dan persoalan khususnya daripada aspek hukum syarak. Justeru garis panduan ini diterbitkan untuk merungkai segala permasalahan dan kekeliruan sekaligus memastikan seluruh penganjuran peraduan berasaskan hadiah bertepatan dengan prinsip muamalat Islam yang berasaskan kepada aspek ketelusan dan keadilan.

2.3 Garis Panduan ini adalah berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Mesyuarat Panel Kajian Syariah, JAKIM.
3. KEPUTUSAN MUZAKARAH JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA ISLAM MALAYSIA
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-64 yang bersidang pada 27 Julai 2004 telah memutuskan;
“Peraduan kuiz melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan seumpamanya adalah mengandungi unsur-unsur eksploitasi, kesamaran (tidak jelas), pertaruhan dan nasib yang tergolong dalam pengertian judi. Dari itu, hukum peraduan kuiz tersebut adalah haram di sisi syarak”

4. KRITERIA- KRITERIA YANG MESTI DIELAKKAN DALAM PENGANJURAN PERADUAN BERASASKAN HADIAH
4.1.1 Eksploitasi
Dalam konteks peraduan berasaskan hadiah, “eksploitasi” bermaksud suatu perbuatan atau tindakan mempergunakan sesuatu (orang dll) untuk kepentingan (keuntungan dsb) diri sendiri. (Kamus Dewan). Eksploitasi bermaksud menuntut (meminta) hasil daripada sesuatu yang dimiliki oleh pemilik. (Mausuah Fiqhiyyah). Eksploitasi juga bermaksud use selfishly and unfairly for one’s own advantage or profit. (Oxford Dictionary). Dalam konteks peraduan, peserta mengharapkan hadiah lumayan yang ditawarkan manakala pihak penganjur mengambil kesempatan dengan mengenakan caj tertentu dan mengaut keuntungan di atas keghairahan orang ramai yang menyertainya. Perbuatan tersebut adalah suatu bentuk eksploitasi yang tidak diharuskan oleh Islam.

4.1.2 Kesamaran
Dalam konteks peraduan yang menawarkan hadiah juga, maksud “kesamaran” adalah sesuatu perkara yang kurang jelas keadaannya. (Kamus Dewan). Kesamaran juga telah ditakrifkan sebagai bahaya, tipu helah dan mendedahkan diri kepada kebinasaan diri dan juga hartanya. al- Jurjani pula telah mentakrifkan kesamaran sebagai sesuatu yang tidak diketahui akibatnya samada berlaku atau sebaliknya. (Mausu’ah Fiqhiyyah). Kesamaran juga dimaksudkan dengan look or sound different from normal; give false appearance. (Oxford Dictionary) Dr. Yusof al-Qardhawi menjelaskan tentang pendirian Islam terhadap perbuatan yang samar- samar atau syubhah. Beliau menyatakan bahawa Islam memberikan satu garis panduan yang disebut sebagai sikap berhati-hati kerana takut terlibat dalam perbuatan haram. Melalui sifat ini seseorang Islam dituntut supaya menjauhkan diri daripada sesuatu masalah yang masih samar-samar, sehingga dengan cara tersebut dia tidak melakukan suatu perbuatan yang haram. Perbuatan seperti ini termasuk dalam perkara sadduz zara’i’ (menutup pintu daripada melakukan kejahatan). Perkara tersebut juga merupakan salah satu pendidikan untuk orang Islam memandang lebih jauh serta menyelidik terhadap hidup dan manusia itu sendiri. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
“Yang halal sudah jelas dan yang haram juga sudah jelas, di antara kedua-duanya itu ada beberapa perkara yang belum jelas (syubhat), banyak orang yang tidak tahu; apakah dia termasuk dalam perkara yang halal ataukah yang haram? Maka sesiapa yang menjauhinya kerana hendak membersihkan agama dan kehormatannya maka dia akan selamat dan sesiapa yang mengerjakan sedikitpun daripadanya hampir-hampir dia akan jatuh ke dalam haram, sebagaimana orang yang menggembala kambing di sekitar daerah larangan, dia hampir-hampir akan jatuh kepadanya. Ingatlah bahawa tiap-tiap raja mempunyai daerah larangan. Ingat pula bahawa daerah larangan Allah itu ialah semua yang diharamkan.”
(Riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Tarmizi dan riwayat ini adalah lafaz al-Tarmizi) (Dr. Yusof al-Qardhawi, al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal 37)
Dalam konteks peraduan kontemporari ini, penganjur mengenakan caj bayaran dalam pelbagai istilah seperti wang pertaruhan, wang penyertaan, yuran pertandingan dan sebagainya. Penganjur juga menyediakan syarat peraduan yang kurang telus, serta mengelirukan. Ini menyebabkan peserta bergantung kepada nasib di samping menyimpan angan-angan untuk memperolehi hadiah yang lumayan. Kesamaran yang berlaku dalam peraduan seumpama ini boleh menyebabkan orang ramai terlibat dalam perbuatan perjudian tanpa mereka sedari.

4.1.3 Pertaruhan
Dalam konteks peraduan berasaskan hadiah, “pertaruhan” bermaksud wang dan lain-lain yang dipasang dalam perjudian. (Kamus Dewan). Pertaruhan juga bermaksud money etc risked or gambled on the unknown result of a future event. (Oxford Dictionary). Judi daripada sudut bahasa bermaksud pertaruhan yang menggunakan anak panah. Ibn Hajar al- Makki telah mentakrifkan perjudian sebagai al- qimar dalam apa jua bentuk. Manakala al- Muhalli telah menjelaskan bahawa bentuk perjudian ialah sesuatu yang diragukan samada untung atau rugi. (Mausuah Fiqhiyyah). Peraduan kontemporari contohnya melalui SMS adalah suatu permainan yang melalaikan dan boleh dikategorikan dalam permainan al-nardu (buah dadu -permainan tradisi masyarakat Arab yang mengandungi perjudian dan pertaruhan). Menurut Dr. Yusof al-Qardhawi (Fatawa al-Mu’asarah jilid 7, hal 465 dan 466) para fuqaha mengharamkan permainan ini berdasarkan kepada dalil al-Quran dan hadis serta bentuk permainan tersebut yang mengandungi unsur judi yang diharamkan. Mereka merujuk kepada firman Allah S.W.T. yang bermaksud;
'Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.'
Surah al-Ma`idah ayat 90
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
“Sesiapa yang bermain permainan al-Nardu (perjudian) sesungguhnya ia telah melakukan maksiat kepada Allah dan rasul-Nya”. Riwayat Abu Daud
Dalam konteks peraduan, unsur perjudian yang terdapat di dalamnya adalah kerana ia mengandungi unsur pertaruhan, setiap peserta akan dikenakan caj bayaran melalui pelbagai istilah yang mengabui mata peserta sebagai syarat untuk menyertai peraduan tersebut.Bayaran inilah yang dinamakan pertaruhan.
4.1.4 Nasib
“Nasib” bermaksud melakukan sesuatu dengan harapan untuk mendapat keuntungan; bertaruh (Kamus Dewan).
Nasib juga bermaksud chance, esp though of as force that bring good or bad fortune (Oxford Dictionary). Perbuatan peserta yang membayar caj peraduan dengan harapan mendapat keuntungan atau habuan hadiah ketika menyertai sebarang peraduan yang dianjurkan perbagai pihak adalah tidak diharuskan oleh Islam. Ia sama dengan perbuatan
mempertaruhkan wang lalu bergantung harapan kepada nasib untuk mendapat keuntungan yang lebih banyak. Perbuatan bergantung kepada nasib ini bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan firman Allah S.W.T. yang bermaksud;
'Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi,pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.'
Surah al-Ma`idah ayat 90
Dalam konteks peraduan berasaskan hadiah, ada segelintir penganjur peraduan meletakkan kaedah penentuan pemenang melalui kriteria peserta yang berjaya menjawab soalan dengan tepat dan paling pantas. Kaedah pemilihan pemenang seumpama ini adalah tidak patuh syariah kerana peserta yang menjawab soalan dengan tepat masih tidak ada jaminan untuk dipilih sebagai pemenang kerana terpaksa bergantung kepada nasib semata- mata untuk menjadi peserta yang terpantas menjawab soalan.

4.1.5 Pembaziran
“Pembaziran” bermaksud perbuatan membazirkan (wang, masa tenaga dsb) (Kamus Dewan). Perbaziran juga dapatlah diertikan sebagai membahagikan harta di luar tujuan. Sesetengah ahli feqah telah mentakrifkan pembaziran sebagai tiada ihsan dalam pengurusan harta, membelanjakan harta bukan pada tempat yang tidak sepatutnya, membelanjakan harta pada arah kebaikan bukanlah bermaksud pembaziran dan membelanjakan harta dalam urusan makanan tidak termasuk di dalam hal (kategori) pembaziran. (Mausu’ah Fiqhiyyah) Pembaziran juga dimaksudkan dengan not thinking of the consequences or of danger; rash or impulsive. (Oxford Dictionary). Islam melarang umatnya melakukan perbuatan mensia-siakan harta atau wang pada tempat yang tidak wajar dan tidak diharuskan oleh Allah S.W.T. Ini bermakna walaupun sedikit yang kita belanjakan jika bukan pada tempat yang wajar, maka ia tetap dikira sebagai membazir. Tidaklah semestinya banyak atau sedikit semata-mata yang menjadi ukuran kepada perkiraan membazir atau tidaknya dalam sesuatu perbelanjaan. Perbuatan membazir sangat dilarang dalam Islam malah ia dianggap bukan daripada perbuatan seorang Islam. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. yang bermaksud;
Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya.”
Surah al-Nisaa’ ayat 26-27
Dalam konteks peraduan berasaskan hadiah, ramai peserta menghabiskan wang mereka semata-mata untuk meraih hadiah yang ditawarkan. Walau bagaimanapun sebilangan kecil sahaja peserta yang akan memperolehi hadiah, manakala sebahagian besar lagi akan mengalami kerugian serta kehilangan wang dalam pertaruhan. Mereka telah membazirkan masa, wang dan tenaga semata-mata untuk mendapatkan hadiah yang belum pasti diperolehi.

5. PANDUAN KEPADA PESERTA
5.1 Sebelum menyertai sebarang peraduan yang berasaskan hadiah, peserta haruslah meneliti dan memahami perkara-perkara berikut:

i) Bentuk dan operasi peraduan.
ii) Terma dan syarat peraduan dengan jelas.
iii) Memastikan peraduan yang disertai tidak mengandungi unsur-unsur yang bercanggah dengan hukum syarak seperti perjudian, pembaziran, eksploitasi, keraguan dan kerugian kepada peserta.
iv) Memastikan caj yang dikenakan terhadap mereka sama seperti caj biasa sebelum peraduan berlangsung jika peraduan tersebut dianjurkan melibatkan perbualan telefon dan kaedah SMS.
v) Peraduan yang disertai bermanfaat dan tidak mengandungi unsur hiburan yang melampau, aktiviti yang melalaikan dan seumpamanya.
vi) Peserta hendaklah merujuk kepada pihak berkuasa yang berautoriti sekiranya terdapat keraguan mengenai sesuatu peraduan terutamanya daripada sudut hukum syarak dan perundangan negara.
vii) Peserta dinasihatkan agar tidak terlalu taksub dan fanatik kepada sesuatu peraduan yang disertai sehingga meninggalkan tugasan wajib.
6. PANDUAN KEPADA PENGANJUR
6.1 YURAN PENDAFTARAN DAN CAJ TAMBAHAN
i) Penganjur tidak boleh mengenakan apa- apa caj atau yuran kepada peserta sebagai bayaran pendaftaran untuk menyertai peraduan yang dianjurkan bagi mengelakkan wujudnya unsur- unsur perjudian dan pertaruhan.
ii) Tiada sebarang caj tambahan boleh dikenakan kepada peserta peraduan contohnya caj kos pengurusan, caj ke atas setiap set soalan peraduan dan seumpamanya.
iii) Jika peraduan dianjurkan melalui telefon dan seumpamanya, pihak penganjur tidak boleh menaikkan caj perbualan telefon dan SMS daripada caj semasa bagi mengelakkan wujudnya unsur perjudian.

6.2 TERMA DAN SYARAT PERADUAN YANG JELAS
i) Penganjur mestilah menyatakan tujuan, syarat- syarat penyertaan, ganjaran hadiah, kaedah pemilihan pemenang, tempoh masa dan seumpamanya dengan tepat, jelas dan terperinci di dalam terma dan syarat peraduan.
ii) Sekiranya peraduan tersebut melibatkan penjualan produk dan seumpamanya maka perkara tersebut perlu diperincikan dengan jelas di dalam terma dan syarat.
iii) Terma dan syarat juga mestilah adil, tidak mengandungi unsur penipuan ataupun helah, serta tidak berat sebelah samada di pihak penganjur mahupun pelanggan dan mestilah tidak bercanggah dengan syarak.
iv) Terma dan syarat mestilah dapat diakses sepenuhnya oleh pelanggan dengan jelas samada melalui iklan di media cetak, media elektronik atau seumpamanya.
v) Terma dan syarat mestilah jelas, mudah difahami serta tidak mengelirukan masyarakat awam.

6.3 PROMOSI DAN IKLAN
i) Maklumat penting di dalam terma dan syarat iaitu syarat- syarat penyertaan, bentuk operasi peraduan, ganjaran hadiah, syarat-syarat pemenang dan seumpamanya mestilah dinyatakan sepenuhnya dengan jelas, mudah difahami oleh masyarakat awam.
ii) Jika peraduan tersebut melibatkan sebarang penjualan barangan atau produk, promosi penjualan barangan atau produk tersebut mestilah lebih difokuskan berbanding promosi peraduan.
iii) Iklan-iklan dan promosi di dalam media cetak dan elektronik mestilah;
a) menggambarkan sepenuhnya promosi peraduan tersebut;
b) tidak mengandungi unsur-unsur eksploitasi seperti mengeksploitasikan wanita dan seumpamanya sebagai satu daya tarikan; dan
c) tidak mengandungi unsur-unsur provokasi, paksaan serta mengelirukan peserta.

6.4 SISTEM PERADUAN YANG JELAS
6.4.1 Matlamat Peraduan
i) Peraduan yang dianjurkan mestilah mempunyai matlamat yang bermanfaat, membina daya intelektual, memupuk sikap positif dan seumpamanya.
ii) Tidak dijadikan sebagai helah untuk mengaut keuntungan yang berlipat ganda.
iii) Tidak melalaikan sehingga menyebabkan peserta meninggalkan kewajipan seharian.
6.4.2 Bentuk Soalan Peraduan
i) Soalan- soalan peraduan mestilah;
a) bermanfaat, ilmiah dan benar- benar menguji kepintaran;
b) tidak tertumpu kepada perkara- perkara yang tidak membina minda serta melalaikan;
c) tidak mengelirukan; dan
d) tidak bercanggah dengan syariat Islam

6.4.3 KAEDAH PEMILIHAN PEMENANG
i) Setiap penyertaan peserta mestilah disemak dan dihakimi dengan adil, telus, amanah dan tidak berat sebelah.
ii) Pemenang peraduan tidak boleh ditentukan dengan kaedah cabutan rambang (lucky draw) yang bersandarkan kepada faktor nasib sahaja contohnya sistem pemilihan pemenang hanya ditentukan melalui kaedah cabutan sahaja tanpa disemak keseluruhan borang jawapan peraduan yang diserahkan peserta terlebih dahulu.
iii) Jika sekiranya terdapat lebih daripada satu penyertaan yang menjawab semua soalan objektif dengan betul dan mempunyai markah/ mata yang sama, maka peserta hendaklah diberi soalan subjektif contohnya menulis cogankata dan seumpamanya. Hakim mestilah mengadili soalan subjektif tersebut dengan adil sebelum menentukan pemenang peraduan.

6.4.4 TEMPOH MASA PERADUAN
i) Jika peraduan tersebut mempunyai sesuatu tempoh had masa penganjuran dan menjawab soalan, maka ia perlulah dimaklumkan kepada peserta sebelum peraduan bermula.

6.5 GANJARAN/ HADIAH
i) Hadiah peraduan disediakan oleh pihak penganjur mestilah daripada sumber yang halal.
ii) Hadiah peraduan tidak boleh diambil daripada kumpulan wang peserta samada melalui yuran penyertaan, caj dan seumpamanya.
iii) Sumber dana hadiah tidak boleh diambil daripada hasil caj perkhidmatan yang di kenakan untuk sms dan seumpamanya.
iv) Hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur mestilah bernilai, bermanfaat dan memenuhi spesifikasi yang telah dinyatakan di dalam terma dan syarat peraduan.
v) Hadiah peraduan hendaklah disediakan terlebih dahulu sebelum sesuatu peraduan dijalankan bagi mengelakkan timbulnya sebarang unsur penipuan.
vi) Tempoh penyerahan hadiah kepada peserta mestilah ditetapkan dan dinyatakan di dalam terma dan syarat peraduan dengan jelas.

7. KESIMPULAN
Garis Panduan yang diterbitkan ini adalah diharap dapat memberikan panduan kepada semua pihak yang terlibat di dalam penganjuran peraduan yang menawarkan hadiah sebagai ganjaran. Semoga usaha ini dapat memastikan keseluruhan operasi peraduan mematuhi prinsip- prinsip syariah.
Rujukan
1. Al- Mausu’ah al- Fiqhiyyah, Wizarah al- Auqaf wa al- Syu’un al- Islamiyyah, jilid 3, cetakan pertama, 2000, Kuwait
2. Al- Mausu’ah al- Fiqhiyyah, Wizarah al- Auqaf wa al- Syu’un al- Islamiyyah, jilid 4, cetakan pertama, 2000, Kuwait
3. Al- Mausu’ah al- Fiqhiyyah, Wizarah al- Auqaf wa al- Syu’un al- Islamiyyah, jilid 31, cetakan pertama, 2000, Kuwait
4. Al- Mausu’ah al- Fiqhiyyah, Wizarah al- Auqaf wa al- Syu’un al- Islamiyyah, jilid 39, cetakan pertama, 2000, Kuwait
5. Al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, Dr.Yusof al-Qardhawi, cetakan ke-15, 1994, al-Maktab al-Islami, Beirut
6. Fatawa Mu’asarah, Dr. Yusof al-Qardhawi, jilid 2, 1991Dar Ula al-Nah, Beirut.
7. Kamus Dewan, Edisi Baru, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, Kuala Lumpur.
8. Oxford Dictionary Advanced Learner’s, A.S Hornby, Fourth Edition,1989, Oxford University Press

Tiada ulasan:

Selamat Datang ke Portal Rasmi Kagum SK Taman Molek. Segala pandangan & cadangan amat kami harapkan dan kunjungan anda kami ucapkan terima kasih.